SABAR MENUNGGU
Di sore itu
Aku dikhabarkan
Pesawat AirAsia kenderaan
Ke kuala lumpur
Yang sepatutnya meluncur terbang jam 9 malam
Tertangguh sehingga satu pagi.
Katanya seekor helang
Terpelosok masuk
Ke dada enjin.
Perlu pembaikan pakar teknikal.
Sabar menunggu
Hingga jam satu
Gelisahku tak menentu
Membilang nadi waktu
Yang dirasakan kaku.
Sabarku
Berencahkan selaut pasrah
Mungkin ada hikmah
Mungkin kitab takdir terserlah
Kepada Ilahi kudambakan serah.
Sabar kumenunggu
Sesekali perlu kurasa begitu
Kuasa agung pencipta
Tidak terlawan, kerdilnya manusia.
Hasil fikir,
Abdul Talib Hamid
LTAB Bayan Lepas
Pulau Pinang
11.51 malam
PENDEKAR BAHASA
(Khas buat Dato’ Seri Utama Rais Yatim – Menteri Penerangan
Istiqamahmu menatang kejap cembul bahasa
Cembul pusaka yang hampir berkecai
Luahan pegangan piala peribadi
Seterang mentari
Walaupun dihina caci.
Jasa gadangmu
Tertumpah dalam piala hati
Pencinta bahasa ibunda tercinta
Berjuang penuh hemah
Berbicara penuh etika
Berbincang penuh fakta
Tak terlawan mereka.
Mujahid bahasa
Denyut nadi bangsamu
Kautelah tunaikan
Bahasa Melayu wajib dimartabatkan
Anak bangsa yang mengerti
Jatuh bangun bangsa bermaruah
Tamadun kudus di tinta sejarah
Bukan menghulur bejana pasrah
Bahasa keramat bertuah
Diinjak ejek penjarah.
Bahasa kita
Kitalah tuannya.
Bersoraklah mereka
kiranya
Bahasa Melayu punah dimamah tanah.
Hasil fikir,
Abdul Talib Hamid
27 Julai 2009
11.14 malam
Teratak Mawaddah
No comments:
Post a Comment