FOTO
Saturday, January 23, 2010
FOTO DI SMKSAS
FOTO
SMKSAS
Wednesday, January 20, 2010
SYAIR UNTUK DIRI
Syair Untuk Diri
Sedarlah diri usia bertambah
Amalan suruhan-Nya harus bercambah
Aqidah pegangan jangan berubah
Peluk dan gigitlah dengan tabah.
Hati sejahtera itulah diharap
Hidup berpedoman harapan digarap
Sihat walafiat tidak tertiarap
Menyiapkan bekal untuk akhirat.
Kerja dilaksana seikhlas hati
Tidak mengharap sebarang simpati
Sementara hidup banyakkan bakti
Untuk tinggalan sebelum mati.
Dalam bersolat wajib diutama
Di negeri akhirat kiraan pertama
Perkara lagha hanya percuma
Hindarilah ia peganglah agama.
Solat sunat banyak faedah
Untuk dibuat sangatlah mudah
Lima minit selesai sudah
Menjadi pelengkap dalam ibadah.
Muhasabahlah diri setiap hari
Kekurangan diri harus dicari
Kehebatan yang ada harap dipateri
Supaya hidup lebih berseri.
Tanggungjawab sendiri jangan diabaikan
Laksana ia dengan berkesan
Supaya nampak hasil di hadapan
Barulah gembira sahabat dan rakan.
Bicara rasa,
Abdul Talib Hamid
20.01. 2010 - Rabu
Banting
SAJAK 20 - ISTIQAMAHNYA WAKTU
ISTIQAMAHNYA WAKTU
(Untuk diriku yang mencapai usia 51 tahun)
Waktu tidak pernah menipu
Detiknya terus berlalu
Tidak lambat dan tidak laju
Tapi berputar seperti yang diseru
Dengan istiqamah tanpa diragu.
Tanggal 20 Januari 2010 hari Rabu
Angka usiaku bertambah ke lima puluh satu
Lebih separuh abad sudah berlalu
Rasanya masih baru…
Waktu tekal dengan kerjanya
Cuma diriku, kekadang sedikit lagha
Kurang amalan untuk menebus dosa
Yang menghempap rohani dan cangkir rasa.
Tuhanku,
Kutahu hambamu ini kerdil, hina tidak bermaya
Untuk menempuh belantara cubaan
Tak pernah suram dan kurang
Justeru, turunkan nusrah-Mu
Kuatkan iman dan amalku
Pasakkan aqidah tauhid
Luluhkanlah mazmumahku,
Hancurkan ammarah bissu’
Gantikan, dengan sifat mahmudah kesukaan-Mu.
Berbekal sisa waktu yang istiqamah itu
Jadikanlah diri
Insan yang memanfaatkan waktumu
Dengan kebajikan yang mantap padu.
Luahan rasa,
Abdul Talib Hamid
20012010, Rabu,
Banting.
Sekadar Luahan
Di persinggahan singkat ini,
Bersama sekelumit upaya,
Hasrat mengukir aksara gemilang,
Di pohon organisasi tegap ini termakbul jua.
Barangkali atas nama, hidup dan kehidupan,
Manusia dan kemanusiaan,
Tunggul gerigis tajam berserakan,
Di jalan perkhidmatan,
Melukakan pemugar visi idaman.
Bersama kaki sedikit cedera,
Kugagahi jua mendakap kejap visi bermakna,
Menapak ke perdu jaya.
Ada ketikanya suara beracun bergema,
Membidik jantung rasa, terkedu seketika.
Tapi, bara hasrat tidak pernah padam di sudut jiwa.
Terasa juga bahang,,
Angin panas beracun menghembus badan.
Pun begitu, bara hasrat marak membentuk api juang,
Berkobar terang.
Kini fantasi visi dan misi menjadi lembaga realiti,
Dihormati dan dikagumi.
Kuasa istiqamah menjadi teras mulia membekas,
Budaya kerja cemerlang dihayati ikhlas,
Selari kehendak Tonggak Dua Belas.
Wahai sahabat, hendaklah sederap,
Kerja kuat meskipun penat,
Hasil berkualti tinggi diharap sangat.
Walau apapun,
hati ini tiada sekuman rasa terbuku,
kerana kita kita telah berjaya di persada kerjaya.
Hanya sekadar luahan hati,
Teruskan menabur benih suci,
Di tanah subur organisasi, selagi hayat bersemi
Di lorong khidmat yang dilalui.
Pada kesempatan terpampang,
Kuhulurkan tangan menagih selaut kemaafaan,
Kerana lidah ini ada ketikanya tajam menikam,
Kerana langkah ini mungkin tempang,
Kerana laku ini mungkin membahang,
Kerana, diri ini insan biasa, selalu ditimpa kemungkinan,
Yang punya banyak kekhilafan serta kekurangan.
Untuk kalian,
Sekiranya ada yang tersasul,
Sekiranya ada yang tersilap,
Sekiranya ada yang terlebih cakap,
Jangan digusarkan, kelmarin sudah dimaafkan.
Semoga dalam afiat dihulur Ilahi,
Semoga dalam naungan rahmat Rabbul Izzati.
SAJAK 20
MAKA TIRAI ITU PUN DILABUHKAN
(Khas buat Datin Rajimah Hassan sempena
persaraan pilihan pada 22 April 2007)
Tanggal keramat 22 April 2007 bersejarah
Tirai khidmatnya mula dilabuh rendah
Menutupi pahatan tinta kencana bermaruah
Penjawat awam keringat ditumpah
Agar anak watan dapat bermegah
Nilai budi, jasa kental pernah dicurah.
Insan hebat pengalaman sarat
Semangat juangnya tak pernah ralat
Baginya, menyungguh kerja penuh berhemat
Kerana kerja buat itu suatu ibadat
Pencukup saham, bekalan akhirat.
Berterus terang dilontar kalimat
Konsep sederhana menjadi azimat
Pegangan hidup terkandung rahmat
Perkara sukar dikunyah lumat
Menjadi ulam-ulaman membina kudrat.
Masih kami teringat langkahan bicaramu
Penuh kudus dari hati yang tulus
Bersama secangkir perasaan insaf
Mencari formula penawar yang ampuh
Merungkai kekusutan, menghindari kekalutan
Penyelesaian terjelma
Organisasi terjulang di puncak nama.
Maka tirai itu pun dilabuhkan
Perjalananmu di terowong khidmat
Menyentuh noktah tersurat.
Selamat berehat
bersama suami dan anak yang penuh mengharap
menebus masa lalu yang tak pernah sempat.
Semoga bahtera hidupmu mewangi kasturi
Semoga dalam afiat, gagah berdiri
Menelusuri bait-bait puisi hidup yang berbaki
Mengumpul bekal untuk negeri hakiki.
Semoga bahagia rasa gesit berlari
Menapak kejap di sudut nurani
Lembayung kasih reda Ilahi.
Hasil fikir,
Abdul Talib bin Hamid
Ketua Unit Bahasa
Jabatan Pelajaran Selangor
Jumaat, 20 April 2007
SAJAK 19
LAMBAIAN KASIH TAUTAN BUDI
(Khas buat Tuan Haji Abdul Adzis bin Abas, Pengarah Pelajaran Selangor
yang telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Nazir Sekolah, pada 1 Mei 2007)
Masa gesit berlalu bersama pawana sepoi,
tanpa sedar langkahan itu sudah di hujung.
Musim itu masih terpahat di sudut minda,
1 Mei 2005 takdir persuakan kita di medan JPS unggul ini,
yang tidak terlintas dalam kotak fikirmu.
Hadirmu bersama seberkas cita menerus apa yang ada,
cukupkan yang belum berjaya bagi amalan warga.
Lantas, Amanah, Cekap, Cepat, dan Teliti (ACCT),
disua bagi dihayati pencukup pengurusan berkualiti.
Surat ditulis hati-hati, silap ejaan, bahasa canggung,
tarikh tersasar diharap tiada lagi.
Program Akademik Terbilang Selangor (PATS),
diwara-wara ke pelosok negeri,
agenda besar pemantap kecemerlangan.
Kepimpinan Instruksional dijaja,
Pengetua, guru besar sedar tugasannya.
Pemantauan diperkasa,
yang hebat diangkat, yang longgar diperketat,
Selangor gemilang diharap.
Bait-bait kalimatmu halus bermakna,
suara tinggi, bicara keras, asing dalam hidupmu,
pegawai selesa semangat bekerja tanpa batasan waktu,
nasihatmu berhemah padu agar kerja bertambah mutu.
Bahasa mulia tinta kencana diluah tak lekang,
”Jaga kesihatan sebelum penyakit bertandang.
Dalam kewangan, jangan cuba menjadi pahlawan,
nanti diri dirundung malang.
Kerja di Jabatan perlu sederap dalam semua perkara,
laksana ahli kumpulan orkestra,
tahu peranan, pabila digera lantas bertenaga,
setiap masa laksana amanah bersiaga,
simfoni indah meruntun jiwa bawa bahagia.
Di luar kotak, berfikir serius diletak,
kerja buat jangan dipihak-pihak,
kita di jabatan kerjanya melampaui batasan petak,
hasil bermutu, pelanggan menjadi rindu, berurusan tanpa liku”.
Kami yang masih berdiri menjunjung mahkota amanah,
menyusun jari menadah harap, ampun dan maaf,
lantaran celupar kata, laku yang tak menentu,
arahan ditunai kurang sempurna hasilnya,
buah sengaja dan tidak sengaja, yang menyentuh rasa dan jiwa
tidak disedari, apatah lagi yang disedari warga.
Atma penawar maafmu, siraman segar katarsis penguat bahagia.
Lambaian kasih, tautan budi,
jasamu mekar di taman nurani,
kekal tersurat dalam lipatan sejarah yang diwarisi,
menjadi rujukan generasi anak negeri yang mengerti.
Doa kami, hendaknya sayap khidmatmu memencar di persada pertiwi,
hendaknya dalam afiat sentosa hidup agihan Rabbul Izzati.
Semoga dalam suluhan cahaya rahmat Ilahi,
di maya fana ini dan di alam sana yang hakiki.
Selamat Berbakti.
Hasil fikir,
Abdul Talib bin Hamid,
Ketua Unit Bahasa,
Jabatan Pelajaran Selangor.
1 Mei 2007
Monday, January 18, 2010
SAJAK 18 UNTUK PN. MUNING
BUDI DAN JASAMU KEJAP TERPAHAT
DALAM WADAH INGATAN TINTA TERSURAT
(Khas buat Pn. Hajah Che Muning binti Mohd Yusoff yang akan bersara wajib pada 6 Jun 2008)
Insan guru ini
Amat gemilang terowong hidupnya
Bermula dengan guru biasa
Tangan hatimu kejap menggenggam semangat guru sejati
Memulih anak didik berwajah bestari.
Kobaran semangatmu disuluhi cahaya hati bimbingan akal
Bersama kuntuman hasrat nan gigih
Bersalut hiasan selembar kasih
Bunga bangsa yang bertandang di taman ilmu
Meluncur cemerlang
Dalam bingkai sahsiah, kurikulum serta kokurikulum.
‘Menghasilkan yang terbaik’
itulah buka bicara dalam pendidikan
diwara-warakan tanpa rimas dan cemas.
Kehebatan diri dinilai dan diuji pihak tertinggi
Lantas, penolong kanan jawatan mencabar kau sanggupi
Pengetua gembira
Arahannya tidak pernah disanggah
tiada bicara berhelah melepas diri
Hasil kerjamu sangat berkualiti
sentiasa ada penambahbaikan sebagai penyeri.
Laluan cerlang terbentang terang
kerusi pengetua menjadi milikmu
Pengalaman lalu sebagai azimat ampuh
Menerjah alun cabaran yang pelbagai
- Murid dengan caranya
- Guru dengan karenahnya
- Ibu bapa dengan ragamnya
- pihak yang berkepentingan dengan kehendaknya
semuanya ‘alah biasa tegal biasa’ mangli semua
penyelesaian berhemah
duri masalah terlerai mudah.
Pemburu keindahan dan keceriaan ini
Tiada dalam kamus hidupnya rasa puas
Sekolah gersang menghijau segar
Pemandangan indah disungguhi kenyataannya
perasaan tenang berumah riang.
Hasil gilapan tangan emkasmu memercik serata
Murid tidak serik ke taman ilmu
Masalah disiplin berkurangan
pembelajaran pengajaran lancar
kurang gugatan
warga pendidik bangga dalam senyuman.
Kerusi PPD Kuala Langat pernah bersaksi
Keiltizamanmu menebas belukar rasa
Memerah akal mengukur upaya
Menyukat daya
Membina tugu MS ISO 9001:2000
Di persada PPD yang kusam fizikalnya.
Katamu, ‘Kusam fizikal bukan bermakna kusam semuanya’
Manfaatkan segala yang ada
Berkat dan hikmat pastinya terselit rahsia.
Bintangmu melonjak di menara tinggi
Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPS jawatan terkini
Menaburkan nasihat, menebarkan panduan
Kepada pengetua dan guru besar seisi negeri
Berbekalkan inti pengalaman,
Bermodalkan seberkas peribadi
Bersulam lembut madah yang tulus.
Kini tanggal 5 Jun 2008
Tinggallah air kasih
Tinggallah kertas kerinduan
Tinggallah jejak di tapak tahun
Usia khidmat di hujung perjalanan.
Kami Warga PPD Kuala Langat
Mengusap hati menampar emosi
Nostalgia lalu sarat menagih
Pancaran nur keibuan, pemimpin, pembimbing
Budi dan jasamu kejap terpahat
Dalam wadah ingatan tinta tersurat.
Doa dan munajat kami
Hendaknya serpihan usia diberkati-nya
Hendaknya mangkuk kehendakmu
Dituangkan air keperluan sihat bertenaga
Hendaknya cinta kasih seisi keluarga hangat membara
Arahan-Nya yang terkurang ditampung segera
Mengumpul harta hakiki penyelamat di sana.
Hasil Fikir,
Abdul Talib bin Hamid
PPD Kuala Langat
Khamis
GURINDAM - GURU BESAR HEBAT.
GURINDAM
GURU BESAR HEBAT
Guru Besar hebat tak banyak cakap
Mengurus memimpin amatlah cekap.
Guru Besar hebat visinya sarat
Inovasi baru diambil berat.
Guru Besar hebat senang didekati
Guru dan murid suka hati.
Guru Besar hebat kerjanya cemerlang
Merenjis keringat pagi dan petang.
Guru Besar hebat insan yang taat
Dilaksanakan arahan tiadalah penat.
Guru Besar hebat tahan diuji
Halangan dihadapi dengan penuh teliti.
Guru Besar hebat insan bestari
Hubungan baik rakan dicari.
Guru Besar hebat berdaya saing
Kejayaan dicapai bukanlah asing.
Guru Besar hebat banyak membaca
Ilmunya banyak sinar berkaca.
Guru Besar hebat bahasanya berhemah
Pelanggan yang datang disapa ramah.
Guru Besar hebat ilmu disebarkan
Tidaklah rugi belajar sambilan.
Guru Besar hebat personaliti unggul
Profesion dijaga yang baik ditimbul.
Bicara pena,
Abdul Talib Hamid
Teratak Mawaddah
18 Januari 2010 - Isnin
11.18 Malam