(Buat isteriku dan isteri sesiapa juga)
Mulai subuh dia sudah bersiaga memulakan rutin harian
kerja di dada dapur, mencuci pinggan, memasak makanan
kain, baju dan seluar anak, suami dan sendiri digosok perlahan
agar tiada yang berkedut menjadi tumpuan.
Isteri yang bekerja, tanggungjawab dipikul melebihi suaminya
kerja di luar, perlu ditangani sehingga tercapai seperti diminta
tenaga dan minda dijana, hasil maksimum itulah diwara-wara
tidak tercapai - perlu menjawab pada ketua yang sering meronda.
Kerja di rumah - harus diulangi sampai bila-bila
bersama segenggam ikhlas di jiwa
agar kerja buat itu berpahala, tidak sia-sia.
Pusingan hayatmu - begitulah...
dengan tabah dilalui gagah
tanpa mengeluh apatah lagi hembusan resah
kerana tahu, untungnya akan terserlah
tirai itu akan terdedah.
Hebatnya seorang isteri,
baktinya terserak menghampar bumi.
Hasil Nukilan,
Abu Naim
10 Januari 2010
Ahad
No comments:
Post a Comment