Wednesday, January 20, 2010

SAJAK 20

MAKA TIRAI ITU PUN DILABUHKAN

(Khas buat Datin Rajimah Hassan sempena

persaraan pilihan pada 22 April 2007)

Tanggal keramat 22 April 2007 bersejarah

Tirai khidmatnya mula dilabuh rendah

Menutupi pahatan tinta kencana bermaruah

Penjawat awam keringat ditumpah

Agar anak watan dapat bermegah

Nilai budi, jasa kental pernah dicurah.

Insan hebat pengalaman sarat

Semangat juangnya tak pernah ralat

Baginya, menyungguh kerja penuh berhemat

Kerana kerja buat itu suatu ibadat

Pencukup saham, bekalan akhirat.

Berterus terang dilontar kalimat

Konsep sederhana menjadi azimat

Pegangan hidup terkandung rahmat

Perkara sukar dikunyah lumat

Menjadi ulam-ulaman membina kudrat.

Masih kami teringat langkahan bicaramu

Penuh kudus dari hati yang tulus

Bersama secangkir perasaan insaf

Mencari formula penawar yang ampuh

Merungkai kekusutan, menghindari kekalutan

Penyelesaian terjelma

Organisasi terjulang di puncak nama.

Maka tirai itu pun dilabuhkan

Perjalananmu di terowong khidmat

Menyentuh noktah tersurat.

Selamat berehat

bersama suami dan anak yang penuh mengharap

menebus masa lalu yang tak pernah sempat.

Semoga bahtera hidupmu mewangi kasturi

Semoga dalam afiat, gagah berdiri

Menelusuri bait-bait puisi hidup yang berbaki

Mengumpul bekal untuk negeri hakiki.

Semoga bahagia rasa gesit berlari

Menapak kejap di sudut nurani

Lembayung kasih reda Ilahi.

Hasil fikir,

Abdul Talib bin Hamid

Ketua Unit Bahasa

Jabatan Pelajaran Selangor

Jumaat, 20 April 2007

No comments:

Post a Comment