Monday, January 18, 2010

SAJAK 18 UNTUK PN. MUNING

BUDI DAN JASAMU KEJAP TERPAHAT

DALAM WADAH INGATAN TINTA TERSURAT

(Khas buat Pn. Hajah Che Muning binti Mohd Yusoff yang akan bersara wajib pada 6 Jun 2008)

Insan guru ini

Amat gemilang terowong hidupnya

Bermula dengan guru biasa

Tangan hatimu kejap menggenggam semangat guru sejati

Memulih anak didik berwajah bestari.


Kobaran semangatmu disuluhi cahaya hati bimbingan akal

Bersama kuntuman hasrat nan gigih

Bersalut hiasan selembar kasih

Bunga bangsa yang bertandang di taman ilmu

Meluncur cemerlang

Dalam bingkai sahsiah, kurikulum serta kokurikulum.

‘Menghasilkan yang terbaik’

itulah buka bicara dalam pendidikan

diwara-warakan tanpa rimas dan cemas.


Kehebatan diri dinilai dan diuji pihak tertinggi

Lantas, penolong kanan jawatan mencabar kau sanggupi

Pengetua gembira

Arahannya tidak pernah disanggah

tiada bicara berhelah melepas diri

Hasil kerjamu sangat berkualiti

sentiasa ada penambahbaikan sebagai penyeri.


Laluan cerlang terbentang terang

kerusi pengetua menjadi milikmu

Pengalaman lalu sebagai azimat ampuh

Menerjah alun cabaran yang pelbagai

- Murid dengan caranya

- Guru dengan karenahnya

- Ibu bapa dengan ragamnya

- pihak yang berkepentingan dengan kehendaknya

semuanya ‘alah biasa tegal biasa’ mangli semua

penyelesaian berhemah

duri masalah terlerai mudah.

Pemburu keindahan dan keceriaan ini

Tiada dalam kamus hidupnya rasa puas

Sekolah gersang menghijau segar

Pemandangan indah disungguhi kenyataannya

perasaan tenang berumah riang.


Hasil gilapan tangan emkasmu memercik serata

Murid tidak serik ke taman ilmu

Masalah disiplin berkurangan

pembelajaran pengajaran lancar

kurang gugatan

warga pendidik bangga dalam senyuman.


Kerusi PPD Kuala Langat pernah bersaksi

Keiltizamanmu menebas belukar rasa

Memerah akal mengukur upaya

Menyukat daya

Membina tugu MS ISO 9001:2000

Di persada PPD yang kusam fizikalnya.

Katamu, ‘Kusam fizikal bukan bermakna kusam semuanya’

Manfaatkan segala yang ada

Berkat dan hikmat pastinya terselit rahsia.


Bintangmu melonjak di menara tinggi

Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPS jawatan terkini

Menaburkan nasihat, menebarkan panduan

Kepada pengetua dan guru besar seisi negeri

Berbekalkan inti pengalaman,

Bermodalkan seberkas peribadi

Bersulam lembut madah yang tulus.


Kini tanggal 5 Jun 2008

Tinggallah air kasih

Tinggallah kertas kerinduan

Tinggallah jejak di tapak tahun

Usia khidmat di hujung perjalanan.


Kami Warga PPD Kuala Langat

Mengusap hati menampar emosi

Nostalgia lalu sarat menagih

Pancaran nur keibuan, pemimpin, pembimbing

Budi dan jasamu kejap terpahat

Dalam wadah ingatan tinta tersurat.


Doa dan munajat kami

Hendaknya serpihan usia diberkati-nya

Hendaknya mangkuk kehendakmu

Dituangkan air keperluan sihat bertenaga

Hendaknya cinta kasih seisi keluarga hangat membara

Arahan-Nya yang terkurang ditampung segera

Mengumpul harta hakiki penyelamat di sana.

Hasil Fikir,

Abdul Talib bin Hamid

PPD Kuala Langat

5 Jun 2008

Khamis

No comments:

Post a Comment