GURU SEBENAR GURU
(Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Langat 2009)
Guru sebenar guru
Jiwanya syahdu tidak celaru
Kolam semangatnya sentiasa merumbu
Kotak fikirnya setajam sembilu
Mencari langkah dan teori baharu
Cara gaya membelai anak didik yang ditumpu.
Guru sebenar guru
Dialah ‘muallim’ – penyebar mutiara ilmu sebenar, seluas lautan
Dialah’mudarris’ – penitip pelajaran serta kemahiran
Dialah ‘muaddib’ – pencanai adab serta budi pekerti penuh keikhlasan
Dialah ‘murabbi’ – penerus proses pendidikan berterusan
Dialah ‘mursyid’ – pembangun kepemimpinan insan yang diharapkan.
Guru sebenar guru
Siaga bergerak awal hari
Mula kerja awal pagi
Waktu senggang dikenal pasti
Sembang mengata sentiasa dihindari
Kerja buatnya tinggi kualiti
Kesungguhan mendidik menjadi resipi
Membina generasi berjiwa murni.
Guru sebenar guru
Amalan yang baik dikembangsuburkan
Membantu rakan suatu kemestian
Ilmu yang ada dipencarserakkan
Rakan seperjuangan mendapat sokongan
Bahasa motivasi bahasa dendangan
Pembakar semangat sahabat yang keletihan.
Guru sebenar guru
Duri masalah dicari penyelesaian
Arahan pentadbir tangkas dilaksanakan
Sedia belajar menambahkan pengetahuan
Jiwanya dipasakkan pegangan:
- mendidik itu mulia
- ibadah tidak ternilai pahala
Guru sebenar guru
Keikhlasannya tidak diragu
Mengajar, mendidik dengan ilmu
Melakar peta kecemerlangan diburu
Anak didik menjadi insan bermutu
Pewaris negara yang sedang menunggu.
Hasil Fikir,
Abdul Talib bin Hamid
PPD Kuala Langat
No comments:
Post a Comment