Saturday, February 6, 2010

SAJAK UNTUK DR. ZAHRI AZIZ

SEDULANG TINTA

TITIPAN JASA

(Khas untuk Yang Berbahagia Dr. Haji Zahri Aziz Mantan Pengarah Pelajaran Selangor)

Curahan sungai baktimu

mengalir deras bersama larian dedaun waktu.

Jasa ditebar merata hingga ke hujung desa

melihat bunga kesungguhan, menghirup aroma ketulusan guru

mengajar anak didik dengan harapan melimpah

pandai baca, tulis dan kira

tanpa alasan dan helah biasa,

’murid malas, ponteng, tiada motivasi, tidak mahu berusaha’

dan seribu satu lagi, hujahan hamburan berbisa.

Bagimu, pengajaran dan pembelajaran

Itu yang lebih utama kiranya cukup waktu diguna

pengajaran berkualiti dipertonton setulus rasa

hasilnya pasti tidak tertumpah, murid belajar dengan mudah.

Kelebihan bejana ingatanmu, cepat menangkap, kejap mengingat

nama guru besar, pengetua, atau guru

disimpan segar dalam peti ingat.

Nasihat dan arahan bermanfaat

dikongsi agar tiada yang terpengap.

Keceriaan, kebersihan, dan keselamatan sekolah

ditumpu sepenuh

kerana ’pandangan pertama, indikator yang lain’.

Jika itu tidak disepuh, yang halus tersirat, akan membirat.

Kata dikota, itulah petua, bukan mainan atau lawak jenaka

yang akur – membernas keinsafan

dijaja merata, semangat diperkasa

agar menjadi rimbunan teladan.

Yang masih bersama lembar-lembar hempedu – membatu

salju nasihat datang bertalu-talu

mendidik kesempurnaan menjaja ingat tanpa keliru

di pelosok-pelosok insaf sanubari yang syahdu.

Inilah amalan kudusmu, berbekal mutiara bahasa mulia

berhemah dalam menganyam bicara.

Bersama jejak-jejak memori di Persada Darul Ehsan ini

ada waktu-waktunya tempias duka

menampar kebeningan wajahmu.

Berbekal perisai pengalaman

Gerimis duka ditindan wangi salju kedamaian.

Doa dan harapan kami

bahtera kehidupan dan khidmatmu

gagah meranduk laut cabaran bergelora

merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Negara

di Bahagian Pendidikan Guru menunggu

dengan kekuatan baharu, penawar sabar, tunjang istiqamah,

inti muhasabah, merenung hakiki

seiringan kelopak syukur di taman hati,

kerana, kita akan kembali ke akar penciptaan Ilahi.

Nukilan,

Abdul Talib Hamid

PPD Kuala Langat, 4 Januari 2010, Rabu. 1.43 Pagi.

No comments:

Post a Comment